Bayangkan jika anda menulis novel tiba-tiba dalam fikiran anda, novel tersebut tidak cukup bagus untuk diterbitkan. Anda masuk pertandingan menulis cerpen pun anda merasakan cerpen anda tidak layak untuk mendapat hadiah walaupun saguhati. Apa tah lagi jika menulis blog kalau pembaca yang datang boleh dikira dengan sepuluh jari?
Memang mudah berputus asa lebih-lebih lagi jika anda lalui keadaan ini tanpa sokongan keluarga dan rakan-rakan seperjuangan. Mungkin juga pasangan anda tak faham minat anda yang suka menulis dan kawan-kawan rapat anda pula hanya tahu menggelakkan apa yang anda buat. Apa pun yang berlaku, jangan mudah berputus asa kerana apapun yang terjadi, penulisan anda penting!
Nak tahu kenapa?
1. Penulisan bukan sekadar hobi
Hobi hanya dibuat sekali-sekala, tetapi jika ia diaplikasikan dalam penulisan, anda tidak akan dapat menangkap kepentingan untuk menulis dalam kehidupan. Jadikan penulisan sebagai satu tabiat, bukan hobi waktu lapang. Anda hanya akan menulis sekali-sekala atau bila ada kelapangan jika anda anggap penulisan sebagai hobi kerana penulisan adalah lebih dari itu.
2. Penulisan akan hidup lebih lama dari anda
Semua orang akan pergi mengadap Pencipta suatu masa nanti. Tetapi jika anda menulis, anda akan tinggalkan sebuah kenangan kepada yang masih hidup di dunia. Bayangkan jika penulisan itu masih lagi mendidik anak bangsa walaupun penulisnya sudah tiada, pasti mereka akan berterima kasih dan mendoakan penulis tersebut. Lihat saja memori yang ditinggalkan oleh Allahyarham Loloq, Seri Bayu (penulis-penulis lirik) dan Sazalee Yacob (penulis cerpen) menerusi karya mereka!
3. Penulisan boleh ubah kehidupan orang lain
Percayalah yang penulisan anda boleh ubah kehidupan orang lain walaupun sedikit. Dan dengan adanya blog, penulisan anda boleh mengubah kehidupan masyarakat di serata dunia. Saya sendiri seronok bila mendapat mesej atau komen yang menyatakan penulisan saya banyak membantu mereka menambah pengetahuan dalam dunia penulisan bebas dan penulisan blog. Anda tak seronok begitu?
4. Penulisan membantu anda meluahkan perasaan
Anda pasti rasa lega jika apa yang terpendam di dada anda dapat diluahkan melalui penulisan. Jika terlampau peribadi, anda boleh tulis di dalam diari harian anda. Jika ianya untuk tatapan umum, anda boleh tulis di blog dan minta pembaca memberikan pendapat mereka pula. Anggap penulisan itu bukan satu kewajipan tetapi sejenis terapi yang membantu anda mengurangkan tekanan.
5. Penulisan meningkatkan tahap penguasaan bahasa
Mungkin sebab utama anda nak berhenti menulis kerana anda rasa penulisan anda tak cukup bagus, menerima banyak kritikan dan komen negatif di dalam blog atau semua cerpen anda tidak diterima oleh editor akhbar dan majalah. Selain berputus asa, anda boleh jadikan penolakkan (rejection) ini sebagai motivasi diri untuk sentiasa meningkatkan tahap penguasaan bahasa anda terutama penguasaan teknik dan tatabahasa yang betul.
Saya dah nyatakan sebab yang logik kenapa penulisan anda penting walaupun tidak dipandang serius oleh orang lain. Banyak kebaikan boleh diperolehi hanya dengan menulis. Dan kalau anda rasa anda masih lemah dalam penulisan, ia menguatkan lagi alasan untuk anda terus menulis dan tidak berputus asa dengan mudah. Jika anda berhenti sekarang, anda tidak akan tahu sejauh mana anda boleh menguji kemahiran menulis anda.
Apa Yang Boleh Anda Lakukan Sekarang?
Saya tahu ramai tak ada masa untuk menulis. Apa kata anda menulis setiap hujung minggu? Jika anda ada blog yang perlu dikemaskini selalu, tetapkan waktu malam atau selepas kerja untuk menulis entri-entri baru. Jadikan penulisan suatu perkara yang penting dalam kehidupan anda kerana jika anda hanya baca tips ini tanpa bertindak, memang berkemungkinan segala penulisan yang pernah dihasilkan sebelum ini hanya sia-sia.