Ada antara anda bukanlah penulis sepenuh masa?, dan ramai yang minat menulis tetapi mendapati mereka sukar membahagikan masa antara kerja, tugasan harian di rumah dan penulisan. Ada juga yang menjadikan alasan bekerja di luar (out station) sebagai alasan untuk mereka melupakan sebentar minat menulis kerana mereka tidak berada dalam zon selesa (comfort zone) mereka.
Bagaimana caranya untuk anda mengadaptasi situasi-situasi seperti ini yang boleh menjejaskan ‘mood’ penulisan anda?
1. Bersedia menghadapi perubahan
Bukan semua perkara yang berlaku berada dalam kawalan kita. Jadi, yang penting untuk kita lakukan ialah hadapi perubahan-perubahan seperti perubahan dalam jadual kerja dan jadual harian. Jangan panik, gunakan apa sahaja yang ada pada waktu itu untuk memberi anda idea menulis.
2. Buat persediaan
Sentiasa simpan dalam beg anda sebatang pen dan buku nota. Sebagai graduan Komunikasi Kewartawanan, sudah menjadi kebiasaan bagi saya membawa sebatang pen dan buku nota ke mana-mana saya pergi. Ia boleh digunakan untuk mencatat idea selain maklumat penting jika perlu.
3. Elakkan memberi tekanan kepada diri sendiri
Anda akan lebih mudah menulis jika anda mempunyai idea, draf pertama serta catatan nota ringkas daripada anda terus duduk di hadapan komputer dan cuba memerah idea dari dalam kepala anda. Ingat: “People who failed to plan, plan to fail!”
4. Ambil kesempatan masa terluang
Kadang kala kebanyakkan masa yang kita ada digunakan untuk menunggu. Menunggu LRT untuk ke pejabat, menunggu kapal terbang berlepas apabila ada tugasan luar bandar, atau menunggu giliran anda dipanggil sewaktu di bank atau klinik. Gunakan masa-masa itu (selalunya antara 10 minit hingga beberapa jam) untuk mencari idea, membuat rangka artikel atau melengkapkan artikel yang belum lengkap.
5. Fokus kepada kebaikan bekerja jauh dari rumah
Ramai orang tidak biasa melakukan rutin harian mereka jika berada di tempat-tempat yang mereka tidak ketahui, apatah lagi menulis. Tetapi situasi ini juga memberi kebaikan kepada anda kerana anda boleh cuba sesuatu yang baru tanpa perlu berasa tertekan, mendapat lebih banyak inspirasi serta lebih bertenaga!
Dengan adanya 5 tips menulis ketika bertugas di luar yang dikongsikan, anda sudah boleh membuat sesuatu yang produktif daripada anda membuang masa tidak tentu hala atau marah-marah kerana terpaksa menunggu lama di satu-satu tempat.
Cubalah. Anda pasti lega bila anda dapat menggunakan waktu menunggu itu sebaik-baiknya. Ia juga boleh mengeluarkan kesan terapeutik untuk menenangkan anda sewaktu berjauhan dengan ahli keluarga.
No comments:
Post a Comment